Tanpa air ikan mati,
Tanpa zikir hati mati.
Sebutlah nama Allah
banyak-banyak. Maksud ayat al Quran dengan kalimah “berzikirlah pada waktu pagi
dan petang” itu ialah kita berzikir dengan kuantiti dan kuali yang tinggi.
Zikir lidah, zikir hati dan zikir perbuatan semuanya menjurus kepada
membesarkan Allah, dan segala yang lain kecil belaka.
Lidah menyebut kalimah
Allah, lalu hati merasakan kebesaran dan keagungan-Nya, dan tindakan menyusul
apabila kita selaraskan segala perbuatan dengan hukum-hakam-Nya. Itulah zikir
yang hakiki. Kesannya sepadu. Ia akan memberi ketenangan dan kekuatan.
Namun bila Allah
dilupakan, umat akan kurang menyebut nama-Nya lagi. Ketika itu hati-hati pun
lalai daripada merasakan kebesaran dan keagungan-Nya. Akibatnya hukum-hakam-Nya
diabaikan dalam tindakan dan perbuatan. Bila ini terhadi jangan ditangisi jika
Allah “lupakan” kita.
Allah hanya menjadi
pembela kepada orang yang bertakwa. Orang yang bertakwa adalah orang yang
banyak mengingati-Nya – dengan lidah, hati dan perbuatan. Menjadi seorang
muslim sahaja (bukan muttaqin), tidak melayakkan kita mendapat jaminan bantuan
daripada-Nya. Siapakah kita, muttaqin atau hanya muslim?
Muslim, lebih-lebih
lagi muslim yang fasik, kurang berzikir malah ada yang tidak berzikir langsung.
Apakah Allah akan mengingati kita jika kita melupakan-Nya? Lalu terbiarlah kita
dihina, dizalimi dan diperkotak-katikkan oleh musuh tanpa mendapat pembelaan.
Sayidina Umar pernah
mengingatkan, bahawa dia lebih bimbangkan dosa-dosa yang dilakukan oleh tentera
Islam berbanding kekuatan dan perancangan musuh. Dosa-dosa akan menghalang
daripada datangnya bantuan Allah kepada kita. Kenapa orang melakukan dosa?
Jawabnya, kerana lupakan Allah. Lupa zikir kepada-Nya. Justeru, untuk mendapat
kekuatan, elakkan dosa. Dan untuk elakkan dosa sentiasalah mengingati Allah.
Ya, masakan orang yang
sentiasa ingatkan Allah tergamak bergelumang dengan dosa? Jika terlanjur
sedikit pun mereka segera bertaubat. Orang yang beginilah akan mendapat bantuan
Allah dalam apa yang mereka usahakan dan perjuangkan. Mereka disokong oleh
kawan dan dihormati oleh lawan. Belum pun bertempik, hanya berbisik, orang akan
akur dan tunduk.
When Allah is your
“friend”, who is your enemy? Bila Allah akrab dengan kita, siapakah yang berani
memusuhi kita? King Richard yang berhati singa itu pun tunduk kepada Sultan
Salehuddin Al Ayubi. Mengapa? Apakah hanya kerana kekuatan Salehuddin? Tidak,
tetapi kerana akhlak dan keperibadiannya yang ditempa oleh zikirullah.
Hasilnya, sifat pemaaf, kasih-sayang dan prihatinya, tidak terbatas. Merentas
sepadan bangsa, negara dan agama.
Musuh tidak terlalu
laju, tetapi orang Islam yang terlalu perlahan. Kita seharusnya ke depan dengan
roh cinta dan kasih-sayang. Dengan cinta kita berdakwah, berhujah dan
menjelaskan dengan penuh hemah dan hikmah tanpa dibauri oleh kebencian dan
prasangka.
Dengan cinta kita
tidak hanya menyebut nama-Nya, mengingati-Nya dan mendaulatkan hukum-hakam-Nya
dalam diri tetapi kita akan kembangkan sayap cinta itu ke dalam rumah tangga,
organisasi, masyarakat dan negara.
Kalau benar cintakan
Allah, cintailah diri dan umat ini dengan banyak mengingati-Nya. Bangun seawal
Subuh, bersih dan sucikan diri. Lalu solatlah untuk mengingati-Nya. Kemudian,
bertebaranlah di muka bumi untuk mencari rezeki yang halal dengan meninggalkan
segala bentuk rasuah, riba dan penyelewengan.
Atur keluarga mengikut
syariat. Jauhkan pendedahan aurat. Perangi pergaulan bebas, racun hedonisme dan
fesyen bohemian dalam kehidupan diri dan remaja kita. Pacu kemajuan ekonomi,
tetapi jangan lupakan hukum Ilahi. Bersiasahlah tetapi jauhi fitnah dan
kepentingan diri. Ingat Allah! Jaga halal dan haram dalam setiap perilaku dan
perbuatan.
Kalau benar cintakan
Allah… ingatlah: Cinta itu bukan kata-kata. Love is a verb – cinta itu
tindakan. Bangkitlah dengan kecintaan bukan dengan satu kebencian. Jangan
marahkan orang yang tidak cinta… jika kita sendiri tidak cinta.
Marahkan diri kita
dahulu, sebelum marahkan mereka. Tidak malukah kita kepada Allah, justeru jika
demikian… bererti cinta kita hanya kata-kata? Hanya pura-pura?
via:
http://genta-rasa.com/2010/01/16/kalau-benar-cintakan-allah/
No comments:
Post a Comment